Thursday, August 24, 2017
NO. GST: 000863748096

PERUTUSAN CEO

ceo-risda1

Tuan Haji Omar bin Paimin
Ketua Pegawai Eksekutif 
RISDA Plantation.                              
             

Bismillaahi Rahmanir Rahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Syukur Alhamdulillah kerana dengan keizinanNya telah memberi kesempatan kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam Laman Web RISDA Plantation Sdn Bhd. (RPSB) pada kali ini.

 

Pengurusan RISDA, Pengurusan RISDA Holdings Sdn. Bhd., rakan-rakan SMR yang lain, semua staf RPSB dan peserta projek Tanam Semula Komersial (TSK) diharap dapat menggunakan Laman Web ini untuk mengutarakan apa juga pandangan, komen atau teguran dengan tujuan untuk menambahbaik pengurusan dan pentadbiran RPSB.

 

Salah satu tujuan penubuhan RPSB adalah untuk membantu pekebun kecil yang kurang berkemampuan membangun dan memajukan kebun-kebun mereka yang tidak ekonomik secara kelompok melalui pendekatan secara Tanam Semula Komrsial (TSK). Dengan cara ini diharap akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui dividen yang dihasilkan daripada projek-projek yang dibangunkan. Sehingga kini RPSB telah membangun dan memajukan sebanyak 628 buah projek yang melibatkan seramai 20,369 orang pekebun kecil dengan keluasan 41,017.28 hektar. Kebun-kebun berkenaan adalah dimiliki oleh pekebun kecil, Jabatan atau Agensi Kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Perkhidmatan Haiwan, tanah kerajaan negeri dan juga projek Agropolitan. Kira-kira 84.42% atau seluas 34,625.01 hektar kawasan telah dibangunkan dengan tanaman sawit. Sementara bakinya 11.46% atau seluas 6,392.27 hektar pula ditanam dengan getah. Sejak tahun 1996 hingga bulan Ogos 2014, sejumlah RM1,135.49 juta telah dikeluarkan untuk bayaran dividen kepada para peserta projek TSK.

 

Bagi memastikan kejayaan projek-projek yang dibangunkan, pengurusan RPSB bersama dengan Pengurusan RISDA di seluruh negara telah menekankan kepada pengamalan pertanian yang baik – Good Agricultural Practices (GAP). Semua staf, khususnya mereka yang bertugas di lapangan perlu faham dan dapat menghayati ungkapan tersebut dengan baik. Mereka perlu memastikan semua projek yang dibangunkan sentiasa berada dalam keadaan baik, penyelenggaraan kebun, pembajaan dan seliaan kebun dijalankan mengikut jadual yang telah dirancang. Dengan cara ini diharap pokok-pokok yang ditanam dapat membesar mengikut tempoh keremajaan yang telah ditentukan. Manakala apabila kebun berkenaan telah mengeluarkan hasil, maka semua projek perlu mampu mengeluarkan hasil selaras dengan sasaran yang telah ditetapkan melalui Key Performance Indicator (KPI), di mana untuk sawit ialah sekurang-kurangnya mencapai hasil tidak kurang 18.50 mt/hek/tahun. Sementara untuk getah pula perlu mencapai penghasilan tidak kurang 1,650 kg/hek/tahun.

 

Usaha untuk membangunkan Laman Web RPSB telah pun dimulakan sejak tahun 2001. Dalam tempoh tersebut, Laman Web RPSB telah menghadapi pelbagai masalah, khususnya gangguan virus sehingga maklumat yang sediada rosak. Atas pentingnya media melalui Laman Web, maka Pengurusan RPSB perlu membangunkan semula pengisian dan mengemaskini maklumat dari masa ke semasa bagi memastikan ianya sentiasa tepat dan padat. Pengurusan RPSB berharap dengan adanya Laman Web seperti ini dapat digunakan dengan sebaiknya agar dapat memberi manfaat kepada semua pengguna.

 

Akhir kata, saya bagi pihak Pengurusan RPSB mengucapkan terima kasih kepada semua staf yang telah memberikan komitmen yang amat tinggi bagi memastikan RPSB akan terus maju dan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggannya. Pada masa yang sama, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengurusan RISDA dan juga Pengurusan RISDA Holdings Sdn. Bhd. yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan yang berterusan kepada pihak RPSB untuk terus maju dimasa-masa yang akan datang. Mudah-mudahan usaha yang baik ini akan sentiasa diberkati oleh Allah SWT.


 

Alamat Ibu Pejabat

   Graha Risda Plantation Unit J, Excella Business Park, Jalan Ampang Putra, Ampang Hilir, 55100 Kuala Lumpur
   Tel: 03 4270 5104
   Fax: 03 4270 5204
   Emel: admin@risdaplantation.com.my
   Web: www.risdaplantation.com.my
  

Peta Ibu Pejabat

Latitud : 3.149472°
Longtitud : 101.747053°